Follow Twitter Like Dashboard
Tokens?

TITLE; Magis Aaron Aziz
Saturday, 19 November 2011 | 6:27:00 pm | 2 comments
                                   


AARON AZIZ antara jejaka paling ‘hot’ ketika ini. Biarpun sudah beristeri dan mempunyai tiga
cahaya mata, saham aktor ini terus melambung tinggi. Ramai jatuh cinta dengan lakonannya
bahkan memasang angan-angan memiliki pasangan seperti watak-watak yang pernah dijayakan
anak seni kelahiran Kota Singa ini.

Paling meninggalkan kesan, kemunculannya sebagai Seth Tan menerusi drama popular,
Nora Elena yang diadaptasikan dari novel berjudul sama. Penangan siri romantik ini cukup
besar hinggakan mampu membuai emosi kira-kira 800,000 penonton yang setia mengikutinya
hingga ke penghujung cerita. Hasilnya, nama Aaron terpateri kukuh pada hati peminat khususnya
di kalangan kaum Hawa.






Empat tahun berkelana di layar lebar dan kaca, dia yang membintangi lebih 10 filem dan kira-kira
20 drama serta telefilem kini berada di fasa selesa. Tidak perlu lagi memperkenalkan diri atau
menempuh fasa membuktikan bakat kerana kemampuannya sudah diperakui ramai.

Biarpun berjaya mengumpul ramai peminat sekali gus menjadi rebutan penerbit serta pengarah,
aktor ini tidak pernah mendabik dada. Bahkan apabila ada yang melabelkan dirinya Hero Malaya,
dengan rendah hati dia menolak kerana katanya gelaran itu belum layak disandangnya.


“Saya bersyukur dengan apa yang saya ada kini. Dapat bertahan dan masih ada yang sudi tawarkan
watak kepada saya pun sudah besar rahmat. Secara peribadi, susah untuk saya letakkan piawaian
pada diri.

“Mungkin tak perlu lagi perkenalkan diri kerana orang sudah tahu kemampuan saya. Fasa untuk
buktikan apa yang boleh saya buat sudah lepas dan untuk komen lebih daripada itu saya tidak berani
kerana adalah lebih molek jika penonton dan orang sekeliling yang menilainya.

“Apapun saya bertuah kerana kehadiran dalam industri seni Malaysia disambut baik bahkan dari
awal saya digandingkan dengan nama-nama besar dan berpengalaman termasuklah Rita Rudaini,
Erra Fazira,  Sharifah Amani dan Maya Karin. Kelebihan itu secara tidak langsung membuatkan laluan
saya semakin mudah,” katanya.

Aaron semakin dekat di hati masyarakat apabila menjadi pilihan utama penerbit melakonkan watak
utama naskhah yang dizahirkan daripada novel kesukaan ramai.
Bagai tertulis takdir, perwatakannya kena dengan ‘hero’ Ombak Rindu, Badai Semalam, Nora Elena,
Stanza Cinta dan terbaru bakal memulakan penggambaran Februari depan, Adam dan Hawa.

Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran jejaka bertubuh tegap ini tetapi senario itu seakan bonus
buatnya.







“Alhamdulillah, mungkin sudah tertulis itu rezeki saya. Seronoknya menerusi drama yang diadaptasikan
daripada novel lebih mudah menarik perhatian penonton.
Novel yang terpilih biasanya adalah yang terlaris dan ramai orang suka. Pembaca biasanya akan jatuh
cinta dengan watak-watak dalam novel yang dibaca dan ini akan buat mereka lebih cepat suka dengan
persembahan pelakon apabila ia dizahirkan ke layar kaca atau lebar.

“Misalnya Nora Elena, pembaca novel itu sudah tahu dan faham watak Seth Tan dan apabila dilakonkan
di skrin mereka lagi suka. Ia beri impak besar dalam karier saya.

“Bagaimanapun ada cabarannya kerana saya harus pastikan diri benar-benar kenal dengan karakter
dan bawa mengikut apa yang digambarkan penulis novel. Andai tersasar atau kurang menjadi, pasti
merosakkan mood penonton.

“Apapun saya bersyukur Nora Elena mendapat sambutan luar biasa malah Stanza Cinta juga ada
pengikut. Harap Ombak Rindu yang akan menemui penonton bulan depan mendapat maklum balas
positif.

“Penggambaran Adam dan Hawa akan bermula Februari ini. Biarpun masih dalam proses perbincangan,
saya sudah memberikan persetujuan. Penggambaran drama 80 episod ini akan ambil masa
sekurang-kurangnya empat bulan dan akan dilakukan dalam dan luar negara seperti di Perth, Makkah
serta Taj Mahal,” katanya.

Bergandingan dengan ramai nama besar mahupun menerajui watak utama belum buat Aaron puas
kerana hanya bekerjasama dengan kira-kira 30 peratus penggiat seni tanah air. Masih ramai yang
mahu didekati kerana menerusi kerjasama, banyak ilmu yang diperolehi secara langsung mahupun
tidak langsung.

Mengulas lanjut perihal ini, Aaron berkata teringin benar dia berlakon di sisi Erma Fatima, Rosyam Nor,
Datuk Rahim Razali, Azean Irdawaty dan ramai lagi pelakon senior.



“Saya percaya ada magis yang wujud jika berlakon di samping mereka yang lama pengalaman dalam
industri. Sebelum ini saya pernah bekerja di bawah arahan Erma dan pernah berlakon di bawah rumah
produksi milik Rosyam Nor tetapi hasrat berlakon bersama belum kesampaian.

“Kebelakangan ini bagaikan gelombang baru apabila saya sering digandingkan dengan pendatang
baru dan muda seperti Siti Saleha, Fathiya dan Neelofa.
Mungkin penerbit dan pengarah mahu cari kelainan. Apapun ramai yang suka saya beraksi di samping
Siti Saleha dan mereka menyifatkan kami pasangan paling cocok di skrin.

“Begitu juga dengan kepercayaan TV9 yang memberi peluang kepada untuk mengarah telefilem
Kekasih Awal dan Akhir yang ditayangkan baru-baru ini.

“Drama itu juga saya bergandingan kali kedua bersama Siti Saleha. Ini percubaan pertama mengarah
biarpun sebelum ini pernah duduk di kerusi pengarah di Singapura,” katanya.

Peluang menghidupkan pelbagai karakter menjadikan jejaka ini makin bersemangat melontarkan sisi
lakonan berbeza. Saban hari dia cuba mencari pembaharuan dalam atur langkahnya dan kepuasan itu
diperolehi menerusi watak antagonis dalam drama Jiwa dan Lara.

Tidak peduli andai ada yang membenci atau marah kerana apabila wujud rasa itu bermakna
persembahannya menjadi. Untuk muncul sebagai pelakon yang baik, dia sedar perlu
mempelbagaikan persembahan bahkan tidak wajar memilih karakter kerana tawaran yang
datang itu adalah rezeki. Selagi ada kelapangan, baik besar atau kecil watak pasti diterima
dengan hati terbuka.

“Saya seronok berlakon dalam Jiwa dan Lara. Keputusan TV3 memberikan watak psiko kepada
saya satu tindakan bijak. Ramai tidak sangka saya boleh bawa watak ini kerana selalunya karakter
antagonis dihidupkan oleh mereka yang punya fizikal ganas.

“Setakat ini maklum balas yang saya terima sangat positif. Biarpun mereka benci karakter itu tetapi
tidaklah sampai terbawa-bawa tidak suka dengan saya. Mereka tahu itu sekadar lakonan,” katanya.

Aktor yang akan masuk ke gelanggang penggambaran KL Gangster 2 pada 1 Disember depan ini baru
saja usai penggambaran filem Prince of the City terbitan Axis Line Entertainment Sdn Bhd yang diarahkan
oleh Roslan Hussin.



Tampil sebagai pembunuh upahan bernama Iskandar, Aaron berasa bertuah kerana dapat beraksi di
samping bintang Hollywood, Michael Madsen. Biarpun hanya tiga hari bersama, ia satu pengalaman
yang cukup berharga buatnya.

“Saya melihat filem berbahasa Inggeris sepenuhnya ini sebagai satu percubaan berani penerbit
tempatan. Ia juga satu permulaan yang baik jika mahu mengangkat filem kita ke mata dunia.

“Saya sedia maklum mungkin penonton susah menerima filem tempatan berbahasa Inggeris
sepenuhnya tetapi saya tetap terima tawaran ini. Bagi saya, ia satu eksperimen. Selama ini
ramai fikir pelakon Melayu tidak berapa fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan filem ini
mungkin boleh membuka mata ramai.

“Pihak produksi maklumkan filem ini akan cuba dipasarkan di luar negara termasuk Eropah dan
Amerika Syarikat. Filem ini diterajui oleh Juliah Cheah, Jehan Miskin, Wan Hanafi Su dan saya
memegang watak pembantu,” katanya yang akan berada di Istana Budaya hari ini untuk pementasan
terakhir Badai Semalam.

sumber dari #Metro 20.11.2011


Old things | New things